Namun begitu, ada juga manusia yang diciptakan Allah dalam keadaan tidak sempurna, menjadi orang kurang/kelainan upaya (OKU). Sempurna atau tidak kejadian kita usahlah dipersoalkan, kerana ketentuan Allah itu ada perhitungan-Nya. Allah merahsiakan masa hadapan kita, untuk menguji kita, agar berprasangka baik, merancang dan berusaha yang terbaik, serta bersyukur dan bersabar. Kita perlu menjaga fizikal kita dengan pengambilan pemakanan yang sihat. Kawal nafsu daripada makan makanan atau minum minuman yang sedap tetapi memudaratkan. Sebab segala yang kita makan dan minum akan menjadi daging kita. Selain tulang kita ada pelbagai organ antaranya seperti paru-paru untuk kita bernafas, usus kecil yang menyerap semua makan kita menjadi darah dan menyerap ke usus besar menjadi najis dan berlaku proses pembuangan. Tubuh kita terdiri daripada trilion sel. Untuk sihat sel mesti sihat. Untuk sel sihat, tisu mesti sihat. Apabila tisu sihat organ pun sihat.

Sesungguhnya semua anggota badan kita yang dijadikan Allah ini, ada fungsinya untuk kita. Kita diamanahkan Allah menjaganya dengan kasih sayang. Walaupun, kita ditakdirkan-Nya memiliki anggota badan yang tidak sempurna, kita perlu menyayangi diri kita. Kalau kita seorang yang tidak sempurna, jangan membandingkan diri kita dengan orang lain yang sempurna, kelak kita akan berasa kekurangan.

Sebaliknya cuba lakukan sesuatu yang mungkin tidak boleh dilakukan oleh orang yang sempurna. Mungkin kita kurang/kelainan upaya dari segi fizikal sahaja, contohnya mata kita tidak boleh melihat (pandangan ‘mata fizikal’ kita gelap). Tetapi, ‘mata hati’ kita cerah. Roh kita berupaya untuk mengaji al-Quran dan menghafalnya. Dibandingkan dengan orang yang sangat berupaya melihat dengan “mata fizikal”, tetapi sangat tidak celik ‘mata hati’ untuk membaca al-Quran. Bukankah itu satu kelebihan walaupun kita ada kekurangan?

Sebenarnya keupayaan itu bukan terletak kepada kemampuan fizikal itu, tetapi terletak pada kemampuan kerohanian kita. Pengalaman sebagai doktor banyak mengajar saya tentang kehidupan dan ketuhanan. Contoh pertama, seorang ibu membawa anak kurang upaya ke pusat mata untuk rawatan. Ibu itu memperkenalkan anaknya kepada saya dengan wajah manis berhias senyuman, “Ini hero saya, ini ladang pahala saya, ini syurga saya.” Ibu yang mempunyai anak kurang upaya itu sangat positif dan kerohaniannya sangat tinggi. Dia memberikan imej yang positif kepada anaknya yang memang bermasalah fizikal. Ibu kedua pula, anaknya semua fizikal sihat, masalah cuma pada matanya sedikit sahaja. Tetapi, kerisauannya amat sangat hingga hilang keceriaan, hendak tersenyum pun tidak mampu.

Maknanya kedua-dua ibu ini membawa penerimaan yang berbeza dan bertentangan sama sekali. Ibu yang pertama, masalah anaknya 100 peratus tetapi bebanan penerimaan ibunya 10 peratus sahaja. Ibu yang kedua, masalah anaknya hanya 10 peratus tetapi ibunya punya susah hati 100 peratus. Jadi bagaimana perbezaan cara seseorang memberikan interpretasi dan melihat sesuatu masalah, akan memberikan impak yang berbeza dan menghasilkan kehidupan yang berbeza.

Contoh kedua, tentang dua orang pesakit kanser yang kedua-duanya berusia 75 tahun. Kalau Allah mentakdirkan kita sakit, kita tidak boleh menghalangnya, tetapi respons kita terhadap penyakit yang kita tempuhi itu akan memberi impak kepada kehidupan kita. Cara kita hendak tahu sama ada ia satu hukuman atau kasih sayang Allah terhadap pesakit itu, lihat cara pesakit itu memberi respons. Pesakit pertama selalu merintih, “Tak tahulah kenapa Tuhan buat saya jadi macam ini. Orang lain senang hidupnya tidak macam saya.” Rungutannya itu menunjukkan dia menerima sakit itu sebagai satu hukuman daripada Allah SWT. Pesakit kedua pula, selalu menyebut, “Alhamdulillah, saya sudah diberi Allah sihat sepanjang 75 tahun, ini baru Allah beri sakit, insya-Allah saya reda, ini tanda kasih sayang Allah.” Pesakit ini mensyukuri nikmat sihat yang selama ini dirasainya dan dia berlapang dada menerima sakit sebagai ujian Tuhan.

Bersyukur

Jadi jika kita diuji Allah mendapat anak kurang upaya atau kita kurang upaya atau kita sakit dan pelbagai musibah, macam mana respons kita itu yang penting. Bagi yang mendapat anak tidak sempurna, reda dan sedar bahawa yang jadikan anak kita tidak sempurna itu Allah. Apabila kita mendapat anak yang macam itu, kita sebenarnya diamanahkan Allah untuk menjaga anak itu lebih daripada anak-anak kita yang normal.

Mungkin hanya seorang sahaja anak kita yang kurang/kelainan upaya, yang lain semuanya normal, adakah kita akan mengeluh dan tidak bersyukur dengan Allah? Oleh sebab itu cara kita berhadapan dan menangani masalah itu yang penting dalam menentukan hidup kita seterusnya. Kalau kita sentiasa menjaga cara kita berfikir atau melihat sesuatu untuk mendapat ketenangan, akhirnya kita akan dapat ketenangan.

Biarpun kita berada dalam posisi yang negatif, lakukan transformasi diri untuk mendapatkan empat hasil kehidupan positif. Pertama, untuk mendapatkan ketenangan, tingkatkan ketakwaan, “Orang tenang sentiasa menang”. Terima situasi negatif sebagai ujian Tuhan dan reda. Kedua, untuk mendapatkan kebahagiaan, jaga silaturahim, “Bahagia dan membahagiakan”. Tanpa melihat rupa paras, sempurna atau tidak kejadiannya terima kehadiran setiap insan dalam hidup kita, dengan kasih sayang dan saling hormat-menghormati. Ketiga, untuk mendapatkan kesihatan, pilih pemakanan, “Makan makanan sihat, bukan makan makanan sedap”. Jika ditakdirkan sakit sabar dan reda. Keempat, untuk mendapatkan kekayaan, gigih dalam pekerjaan, “Duit alat meningkatkan ketakwaan”. Biarpun kita tidak sempurna usaha untuk berdikari, rezeki Allah luas melata.

Jom lakukan transformasi; daripada orang yang hidup duka lara kepada hidup bahagia. Untuk bahagia hapuskan semua pemikiran negatif yang membuahkan tujuh emosi negatif yang akan membunuh kebahagiaan, iaitu rasa takut, benci, dendam, tamak, tahyul, marah dan dengki. Jadilah orang yang baik hati, murah hati dan melimpah dengan kasih sayang. Kita melebihkan memberi penghargaan dan perhatian, bukan mengharapkan penghargaan dan mencari perhatian.

Jangan bersedih mengenang masa silam, kita tidak akan menjadi kita seperti yang ada kini, kalau kita tidak melalui zaman silam kita itu. Lakukan transformasi diri tinggalkan segala yang negatif dan mulakan kehidupan positif. Jika kita tutup semua kisah duka lara kita, kita akan melupakannya dan kebahagiaan pasti menjelma. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.